Saturday, September 13, 2008

UJIAN.....



Sesekali dalam hidup kita, pasti diuji ALLAH. Bentuk ujiannya sudah tentu juga berbeza antara satu sama lain. Ujian yang ALLAH turunkan kepada kita tentu ada sebab musababnya. Ada ujian yang mahukan kita belajar menjadi sabar.

Ada juga ujian yang diberikan ALLAH untuk menyedarkan kita bahawa hidup ini hanya sementara.Ujian ALLAH bukan sahaja dalam bentuk kesusahan, kerana ada juga ujian yang diberikan dalam bentuk kesenangan hidup. Kita sengaja diuji dengan harta yang bertimbun untuk melihat sejauh mana rasa syukur kita kepada-Nya dan sejauh mana kita mampu mengendalikan kesenangan yang diberikan itu untuk memakmurkan orang lain.

Ada juga yang diuji dengan pelbagai rintangan dalam menghadapi perjalanan hidup agar sentiasa mendekatkan diri , sentiasa berkomunikasi dan tidak lalai dan leka menunaikan perintah ALLAH. Ada orang yang diberikan kekayaan yang melimpah ruah tetapi dengan kesenangan itu, dia menjadi takbur, sombong dan merasakan apa yang diperoleh itu adalah hak dirinya semata-mata. Jadi bergunakah kekayaan itu untuknya di akhirat kelak?

Ada yang diberikan kerjaya dan kedudukan hebat tetapi menggunakan kedudukan itu untuk kepentingan diri sendiri dan menggunakan kedudukan yang baik tersebut untuk menindas orang lain. Wajarkah itu? Untuk itu, kita haruslah sering bermuhasabah diri dan bertanya `adakah apa yang aku miliki ini, satu bentuk ujian Tuhan?' Jika kita sedar perkara itu, pasti kita selalu menggunakan apa yang kita miliki atau kesenangan yang kita kecapi itu untuk tujuan kebaikan juga.Kuatkan jiwa, tabahkan hati dalam menerima ujian ALLAH, pasti mendapat balasan yang baik, suatu hari nanti. Kita pun harus merenung diri, jangan mabuk dek manisnya madu….

No comments: